Lawatan Industrial TAP ke Premis-Premis Majikan

Khamis, 30 Julai 2009 – Jabatan Pematuhan TAP hari ini meneruskan lagi lawatan bersiri yang diungkayahkan oleh Unit Penguatkuasaannya di Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, BSB dan kawasan Bandar Seri Begawan. Pemeriksaan ini melibatkan seramai tujuh (7) orang pemeriksa TAP dan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Tujuan lawatan pemeriksaan ini adalah bagi mempastikan kepatuhan majikan didalam melaksanakan tanggungjawab ke atas pendaftaran dan caruman pekerja-pekerja tempatan.

Dalam operasi kali ini, sebanyak 45 buah premis telah diperiksa di mana 18 buah telah didapati belum berdaftar. Manakala jumlah kesemua pekerja tempatan ialah seramai 100 orang dan pihak TAP telah mendapati 10 orang daripada mereka tidak berdaftar atau dicarumkan ke TAP.

Disamping berinteraksi dengan pihak majikan dan pekerja, pemeriksa TAP juga turut memberikan kefahaman didalam mendedahkan lagi ahli dan majikan dengan Akta TAP dan juga Aturan-Aturannya serta menyebarluaskan lagi maklumat mengenai TAP.

Dalam hal ini jua, pihak TAP ingin memaklumkan kepada para majikan bahawa pengurusan caruman-caruman TAP pekerja-pekerja mereka bolehlah dilakukan dengan melangkah ke arah penggunaan perkhidmatan elektronik iaitu program Automasi TAP02. Ianya adalah bagi memudahkan mereka di mana mereka hanya perlu memasukkan dan menyimpan data pekerja-pekerja mereka untuk pembayaran bulanan caruman berkenaan.

Jabatan Pematuhan TAP akan terus mengadakan lawatan-lawatan industri ini bagi memastikan kesejahteraan setiap pekerja tempatan sentiasa terpelihara.