Taklimat Tabung Amanah Pekerja (TAP), Persaraan Caruman Tambahan (SCP) Dan Perancangan Kewangan

Khamis, 10 Jun 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini mengadakan taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), Persaraan Caruman Tambahan (SCP) dan Perancangan Kewangan kepada pengawal keselamatan lelaki pengambilan ke-46 dari Setia Protective Security Services (SPSS) Sdn. Bhd. Lebih kurang 80 orang telah hadir bagi mendengar taklimat berkenaan di syarikat berkenaan.

Tujuan ianya diadakan adalah sebagai salah satu usaha pihak TAP didalam meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman majikan dan pekerja berkenaan mengenai skim-skim berkenaan.

Taklimat Skim TAP dan SCP telah disampaikan oleh Yang Mulia Dyg Rozielawati bt Hj Jamil, Pemangku Penyelia dari Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Beliau menyentuh mengenai dengan sejarah penubuhan, kadar caruman dan skim pengeluaran serta manfaat skim-skim berkenaan.

Skim TAP telah ditubuhkan pada 1 Januari 1993 yang mana ahli-ahlinya terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau swasta dan berumur 55 tahun ke bawah. Ahli dimestikan mencarum 5% dari gaji pokok mereka dan 5% lagi akan dicarumkan oleh pihak majikan. Caruman terkumpul adalah bertujuan untuk membantu ahli-ahli mempunyai simpanan tetap dalam membantu kesejahteraan di hari persaraan mereka. Dana terkumpul ahli tersebut bolehlah dikeluarkan melalui skim-skim pengeluaran seperti berikut yang mana tersebut di dalam Akta TAP:

- Pengeluaran 55 tahun
- Pengeluaran 50 tahun
- Membeli atau membina rumah baru
- Hilang Upaya
- Berhijrah ke negara lain
- Hak waris

Beliau juga turut menerangkan mengenai skim SCP yang mula dikuatkuasakan operasinya pada 1 Januari 2010. Skim SCP, satu skim baru yang mana ianya adalah sebagai tambahan kepada Skim TAP seperti yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke 63 tahun.

Objektif utama skim berkenaan adalah memastikan semua peserta Skim SCP, yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (annuiti) sebanyak $150.00 apabila ahli mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap 60 tahun. Melalui skim ini, ianya menjamin ahli untuk menerima dana simpanan terkumpul mereka secara bulanan dengan jumlah minimum $150.00, di samping bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak $250.00 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, jumlah pendapatan minimum bulanan adalah $400.00.

Dyg Rozielawati turut menerangkan antara elemen khas Skim SCP adalah memastikan jaminan bagi kesejahteraan tanggungan kepada ahli yang meninggal sebelum umur persaraan mandatori 60 tahun dengan menerima Pencen Skim SCP Khas (dana SCP ahli yang telah meninggal) dan Manfaat Perlindungan “Survivorship” sebanyak minimum $400.00 selama 15 tahun dari tarikh ahli berkenaan meninggal.

Melalui skim SCP ini, rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau swasta dikehendaki membuat caruman bulanan sebanyak 3.5% dari gaji pokok dan majikan juga akan mencarum kadar yang sama, yang mana caruman minimum adalah B$17.50 dan caruman maksimum pula B$98.00.

Taklimat mengenai Perancangan Kewangan pula disampaikan oleh Yang Mulia Dyg Aizan bt Hj Jalin, seorang Perancang Kewangan yang diiktiraf yang dijemput dari HSBC. Dalam taklimat berkenaan, beliau telah menyatakan bahawa Perancangan Kewangan merupakan satu proses yang boleh membantu dalam mencapai impian melalui pengurusan kewangan yang teratur. Beliau turut mengongsikan beberapa panduan di dalam pengawalan hutang dan langkah-langkah yang diambil dalam memulakan perancangan kewangan. Dengan adanya kesedaran mengenai pentingnya perancangan kewangan maka dapatlah memikul tanggungjawab sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Beliau menekankan setiap impian memerlukan perancangan kewangan, ini termasuk impian untuk belajar di luar negeri, untuk membeli kereta atau memiliki rumah.


IMG_3700IMG_3707
IMG_3708IMG_3718
IMG_3734IMG_3740