Jerayawara Perancangan Kewangan
Selasa, 8 September 2009 - Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat hari ini meneruskan lagi Jerayawara Perancangan Kewangan didalam usaha untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perancangan kewangan di kalangan remaja. Kira-kira 150 penuntut dari Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Tutong menghadiri taklimat tersebut yang bertempat di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan.
Acara dimulakan dengan persembahan lakonan sketsa dari penuntut Maktab SOAS, Bandar Seri Begawan yang berjodol “Buat Pilihan Bijak”. Lakonan tersebut telah mendapat tempat kedua didalam pertandingan Mari Cerita Berkumpulan yang dianjurkan oleh TAP dan Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan Jun yang lepas.
Acara diteruskan dengan taklimat TAP yang disampaikan oleh Awg Mohd Reza Bin Hj Zainal Abidin, di mana beliau menerangkan mengenai fungsi dan tujuan TAP ditubuhkan sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial. Manakala wakil dari Bank HSBC, Dyg Aizan bte Hj Jalin, perancang kewangan yang diiktiraf, kemudian menyampaikan konsep perancangan kewangan. Beliau menekankan setiap impian memerlukan perancangan kewangan, ini termasuk impian untuk belajar di luar negeri, untuk membeli kereta atau untuk memiliki rumah. Turut dikongsikan sepanjang taklimat beliau adalah beberapa tips untuk memulakan perancangan kewangan di peringkat muda.
Sejak pelancaran Jerayawara Perancangan Kewangan pada tahun 2005, TAP telah menyelaraskan berbagai aktiviti perancangan kewangan seperti Peraduan Mari Cerita Berkumpulan, Teater Muzikal Perancangan Kewangan untuk kanak-kanak, Financial ExploRace untuk generasi muda, Peraduan Melukis Poster dan lain-lain. Selain dari itu jua, TAP terus mengadakan jerayawara perancangan kewangan kepada organisasi-organisasi dari sektor awam dan sektor swasta. Mana-mana institusi atau sekolah-sekolah yang berkehendakkan pihak TAP untuk mengadakan taklimat yang sama bolehlah menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat di talian 2382929 sambungan 720.