TAP Teruskan Jerayawara Perancangan Kewangan

Isnin, 26 Oktober 2009 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat kali ini meneruskan Jerayawara Perancangan Kewangan kepada lebih kurang 140 orang kakitangan baru dari Setia Protective Security Services (SPSS) Sdn Bhd bertempat di Dewan Besar, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Tutong.
Taklimat dimulakan dengan penerangan mengenai TAP sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan rakyat dan penduduk tetap negara ini untuk hari persaraan di mana ianya disampaikan oleh Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP.
Antara perkara yang beliau sampaikan adalah mengenai pentingnya bagi setiap ahli untuk terus peka akan kewangan mereka dan membuat perancangan yang teratur untuk keperluan-keperluan mendatang. Beliau juga mengingatkan bahawa selain simpanan TAP, setiap individu adalah digalakkan untuk membuat persiapan tambahan contohnya melalui skim simpanan, pelaburan dan insuran dari institusi-institusi yang diiktiraf oleh Kementerian Kewangan, Negara Brunei Darussalam. Beliau turut menyentuh mengenai krisis yang telah melanda pasaran pelaburan global dan kesannya pada pulangan pelaburan.
Turut diundang bagi jerayawara tersebut ialah Dayang Rohani binti Haji Mohd Salleh, Pengurus Cawangan di Bandar Seri Begawan, HSBC. Beliau, yang juga seorang Perancang Kewangan, menekankan mengenai kepentingan perancangan kewangan sebelum mengongsikan beberapa panduan dan strategi utama didalam mencapai status kewangan yang sihat.
Jerayawara Perancangan Kewangan akan terus dikendalikan oleh TAP dengan tujuan untuk memberikan dan menambahkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan (Financial Planning) kepada orang ramai terutama didalam memikul tanggungjawab kewangan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain atau mana-mana pihak. Selain dari itu, ianya jua adalah bagi mendukung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 15 Julai 2006 untuk “..berusaha untuk menyimpan melalui Financial Planning bagi keperluan-keperluan mendatang..”

IMG_5929 
IMG_5921 
IMG_5996
IMG_5894
IMG_5914