Hari Penghargaan Pelanggan & Kempen Mengemaskinikan Maklumat Ahli
Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan lagi Hari Penghargaan Pelanggan di TAP Cawangan Tutong bertempat di Unit 11GF, Paras Bawah, Petani Mall, Lot 13096, Kg Petani, Tutong pada hari Khamis, 18 Jun 2009 bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang.
Tujuan ianya diadakan adalah antara lain sebagai kesinambungan dari Kempen Sopan Santun yang sedang giat diadakan di Cawangan Ibu Pejabat TAP yang mana telah bermula dari 16 Februari 2009 yang lalu. Adapun objektif kempen tersebut adalah membudayakan sifat bersopan santun dikalangan warga TAP disamping menanamkan sikap pemedulian didalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan yang berurusan di TAP.
Sehubungan dengan itu, bersempena Cuti Sekolah Penggal II, pihak TAP juga akan mengadakan Peraduan Melukis Poster TAP bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah di mana tema tajuk-tajuk lukisan telah disediakan pada hari berkenaan.
Acara ini juga turut diselajurkan dengan Kempen Mengemaskinikan Maklumat Ahli bagi membolehkan ahli meneliti maklumat mereka dan membuat pengemaskinian sekiranya terdapat sebarang perubahan seperti alamat persuratan, nombor telefon, dan sebagainya. Selain dari itu juga, kempen ini turut membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat simpanan mereka di TAP. Orang ramai hanya perlu membawa Kad Pengenalan mereka bagi membuat perubahan ataupun mendapatkan maklumat mengenai akaun mereka.











