Jerayawara Perancangan Kewangan

Isnin, 06 Julai 2009 - Didalam usaha untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perancangan kewangan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat hari ini meneruskan lagi Jerayawara Perancangan Kewangan kepada seramai 40 orang pegawai dan kakitangan baru dari Jabatan Penerangan. Jerayawara ini adalah sebahagian daripada program Induksi yang disusun oleh Jabatan Penerangan dan bertempat di Bilik Persidangan Orang Kaya Shahbandar, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Didalam salah satu taklimat berkenaan Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP, menerangkan mengenai peranan TAP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial di negara ini dan kaitannya dengan perancangan kewangan. Beliau menekankan caruman TAP sebanyak 5% daripada gaji ahli adalah kadar yang minima bagi ahli membuat simpanan dihari persaraan, dan sebanyak 95% lagi adalah sepenuhnya dibawah kawalan ahli untuk membuat simpanan bagi keperluan-keperluan mendatang. Selain dari itu juga, beliau turut menerangkan ahli perlu membuat anggaran dana yang diperlukan ketika bersara kelak berdasarkan gaya hidup yang ingin dicapai dan objektif kewangan yang diimpikan bagi membolehkan ahli membuat persiapan dari peringkat awal lagi. Beliau juga turut menerangkan mengenai proses pelaburan dan implikasi prestasi pasaran global kepada pulangan dividen.

Manakala Perancang Kewangan yang diiktiraf, Dayang Hajah Asmahdi binti Haji Ramlee, pegawai dari bank HSBC, memberikan penerangan mengenai konsep perancangan kewangan. Beliau menekankan setiap impian memerlukan perancangan kewangan, ini termasuk impian untuk belajar di luar negeri, untuk membeli kereta atau untuk memiliki rumah. Turut dikongsikan sepanjang taklimat beliau adalah beberapa tips pengawalan hutang dan langkah-langkah yang diambil didalam memulakan perancangan kewangan.

Jerayawara Perancangan Kewangan yang telah mula digiatkan sejak tahun 2005 ini akan terus dijalankan oleh TAP dengan kerjasama beberapa institusi kewangan dan Jabatan Kerajaan dengan tujuan untuk memberikan dan menambahkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan terutama didalam memikul tanggungjawab sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak.

Mana-mana organisasi, institusi atau sekolah-sekolah yang berkehendakkan pihak TAP untuk mengadakan taklimat yang sama bolehlah menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat TAP di talian 2382929 sambungan 720.

IMG_4792IMG_4795IMG_4800IMG_4802