Taklimat Tabung Amanah Pekerja Dan Skim Persaraan Caruman Tambahan

Khamis, 6 Mei 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Unit Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP) hari ini meneruskan lagi Jerayawara TAP dan SCP bagi 45 kakitangan Syarikat Brunei Gas Carriers Sdn Bhd.

Taklimat disampaikan oleh Yang Mulia Awg Mohd Reza Bin Haji Zainal Abidin, Pmk. Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat TAP dan mengambil tempat di Bilik Anggerek SEAMEO VOCTECH, Gadong.

Aturcara diteruskan dengan Taklimat Perancangan Kewangan yang disampaikan oleh Dyg Siti Aminah Bte Haji Abd Rahman, pegawai dari Bank Baiduri. Dalam taklimat beliau mengingatkan peserta taklimat mengenai kepentingan perancangan kewangan dan langkah-langah untuk membuat perancangan kewangan yang teratur.

Skim SCP telah diperkenalkan melalui Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 14 Julai 2009, sempena Hari Keputeraan Baginda ke 63 tahun dan telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2010.

Skim SCP adalah skim tambahan kepada Skim TAP dan pekerja dan majikan adalah dimestikan untuk membayar caruman menurut “Supplemental Contributory Pension Order 2009”. Objektif utama Skim SCP ini adalah untuk memastikan semua peserta Skim SCP, yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak $150.00 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap 60 tahun. Melalui skim ini, yang menjamin bayaran bulanan $150.00, dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak $250.00 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak $400.00.

Orang ramai bolehlah melayari laman web
www.mof.gov.bn untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Skim SCP.


IMG_0735IMG_0741IMG_0744