Taklimat TAP dan Perancangan Kewangan
Selasa, 26 Mei 2009 - Dalam usaha Tabung Amanah Pekerja (TAP) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan perancangan kewangan terutama didalam memikul tanggungjawab kewangan sendiri, Jerayawara Perancangan Kewangan terus diadakan yang mana pada kali ini disasarkan kepada bakal-bakal pesara dari sektor kerajaan yang terdiri dari kakitangan dari bahagian IV.
Jerayawara berkenaan dihadiri oleh seramai 100 orang dan acara berkenaan dimulakan dengan pengenalan mengenai TAP yang disampaikan oleh Dyg Hjh Raeidyah bte Haji Bujang, Pegawai Pelaburan.
Beliau menerangkan mengenai penubuhan TAP sebagai salah satu organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan rakyat dan penduduk tetap negara ini untuk hari persaraan. Menyentuh mengenai persoalan samada simpanan TAP memadai atau sebaliknya, beliau menyatakan jawapan adalah bergantung kepada individu memandangkan setiap individu mempunyai objektif yang berlainan. TAP adalah salah satu kaedah perancangan kewangan yang dapat digunakan untuk mencapai gaya hidup yang diimpikan setelah bersara, oleh itu, beliau menekankan mengenai kepentingan bagi setiap individu untuk memikul tanggungjawab didalam membuat analisa dan menggambarkan objektif setelah bersara dan seterusnya mengambil tindakan mengenainya.
Selain itu, beliau juga turut menasihatkan kepada bakal-bakal pesara agar tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim pelaburan yang tidak diiktiraf yang menjanjikan pulangan yang lumayan, terutama apabila menerima simpanan persaraan kelak. Dalam pada ini jua, beliau menerangkan sedikit sebanyak mengenai proses pelaburan asas, seperti risiko yang dihadapi dengan pulangan yang diinginkan, serta prestasi pasaran pelaburan global yang turut memberikan impak kepada dividen.
Manakala, bagi menerangkan mengenai konsep perancangan kewangan serta kepentingannya adalah Dayang Rohani binti Haji Mohd Salleh, salah seorang Perancang Kewangan dari Bank HSBC. Beliau menjelaskan Perancangan Kewangan sebagai satu proses mengatur kewangan didalam mencapai sesetiap objektif, ini termasuklah objektif jangkamasa pendek dan objektif jangkamasa panjang seperti membeli kereta, ataupun membeli rumah. Selain dari itu, beliau turut mengongsikan beberapa tips perancangan kewangan seperti cara mendisiplinkan diri untuk menyimpan serta pengawalan hutang.
Di samping itu juga, taklimat mengenai zakat turut disampaikan oleh Ustaz Haji Muhd Shukri bin Haji Ahmad, Ketua Bahagian Pentadbiran Unit Kutipan & Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei. Beliau turut mengingatkan kewajipan seorang muslim dan tanggungjawabnya didalam membayar zakat. Beliau menerangkan mengenai jenis zakat yang diwajibkan ke atas setiap muslim selain zakat fitrah, iaitu zakat harta. Zakat harta, jelas beliau, sering dilalaikan, seperti zakat emas dan perak, dan zakat simpanan.
Taklimat ini adalah kali ke-empat diadakan dengan usahasama di antara Institut Perkhidmatan Awam bersama Tabung Amanah Pekerja. Bagi mana-mana institusi yang ingin mendapatkan taklimat mengenai TAP dan Perancangan Kewangan, bolehlah menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat TAP di talian 2382929 sambungan 720.
