Lawatan Penguatkuasaan TAP Ke Premis-Premis Majikan
Rabu, 13 Julai 2011 – Dalam memastikan kesejahteraan ahli-ahli TAP sentiasa terjamin, Tabung Amanah Pekerja melalui Jabatan Penguatkuasaan hari ini meneruskan lagi sesi lawatan pemeriksaan ke premis-premis perniagaan di sekitar Daerah Temburong. Operasi ini melibatkan seramai tujuh (7) orang pemeriksa TAP di mana ianya bermula dari pukul 9.00 pagi.
Adapun tujuan pemeriksaan ini dijalankan adalah bagi memastikan bahawa pendaftaran serta caruman majikan dan pekerja-pekerja tempatan ke TAP dibuat seperti yang digarispandukan di bawah Akta TAP dan Aturan-aturan TAP.
Mengikut aturan-aturan TAP 1999 dalam aturan 3(1) dan 6 (I) adalah diwajibkan keatas majikan berdaftar ke TAP sebelum hujung minggu pertama pada bulan pertama membayar gaji dan juga mendaftar pekerja-pekerja tempatan dan penduduk tetap.
Manakala dalam bab 7(1) dan 8(1), majikan bertanggungjawab membayar caruman pekerja dan dari pihak majikan setiap bulan tidak lewat dari setiap 15 haribulan dibulan berikutnya
Dalam pemeriksaan ini, sebanyak 48 buah premis dan seramai 119 pekerja tempatan telah diperiksa di mana 14 orang pekerja didapati tidak berdaftar atau dicarumkan ke TAP mana-mana majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan juga telah diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan lanjut. Kehadiran majikan tersebut ke TAP adalah perlu bagi melicinkan lagi proses pendaftaran pekerja mereka serta bagi memudahkan proses pembayaran caruman yang tertunggak.
Pihak majikan juga diingatkan untuk mendaftarkan dan seterusnya mencarumkan pekerja tempatan mereka ke TAP dari awal pekerja itu berkhidmat dan bukannya sesudah pemeriksaan sebegini dilakukan. Bagi pekerja tempatan yang belum didaftarkan dan dicarumkan ke TAP, mereka adalah digalakkan untuk membuat aduan ke mana-mana cawangan TAP bagi membolehkan pihak TAP untuk membuat tindakan dan pemeriksaan lanjut.
Di samping itu juga, pihak TAP memohon kerjasama dari majikan atau ahli-ahli untuk memaklumkan TAP jika ada pertukaran maklumat pekerja tempatan, berpindah majikan ataupun berhenti bagi memudahkan pengemaskinian maklumat ahli.
.
TAP juga mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP atau menelefon pusat panggilan TAP di talian 2382800 untuk sebarang pertanyaan yang berhubungkait dengan TAP.