Pihak Majikan Diingatkan Untuk Mendaftarkan dan Mencarumkan Pekerja Tempatan Mereka Ke TAP

Dalam memastikan kesejahteraan ahli-ahli TAP sentiasa terjamin, Tabung Amanah Pekerja melalui Jabatan Penguatkuasaan meneruskan lagi operasi lawatan penguatkuasaan ke premis-premis perniagaan pada hari Rabu, 14 Disember 2011 di Kuala Belait. Operasi ini melibatkan seramai lapan (8) orang pemeriksa TAP di mana ianya bermula dari pukul 9.00 pagi.

Adapun tujuan pemeriksaan ini dijalankan adalah bagi memastikan bahawa pendaftaran serta caruman majikan dan pekerja-pekerja tempatan ke TAP dibuat seperti yang digarispandukan di bawah Akta TAP dan Aturan-Aturan TAP. Ianya juga adalah adalah bagi memastikan kepatuhan majikan di dalam melaksanakan tanggungjawab ke atas pendaftaran dan caruman pekerja-pekerja tempatan.

Dalam pemeriksaan ini, sebanyak 16 buah premis majikan telah diperiksa dan didapati seramai 18 orang yang belum berdaftar ke TAP.

Dalam lawatan tersebut, majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan telah diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan lanjut. Kehadiran majikan tersebut ke TAP adalah perlu bagi melicinkan lagi proses pendaftaran pekerja mereka serta bagi memudahkan proses pembayaran caruman yang tertunggak.

Pihak majikan diingatkan untuk mendaftarkan dan seterusnya mencarumkan pekerja tempatan mereka ke TAP dari awal pekerja tersebut berkhidmat. Di bawah Seksyen 26 Akta TAP Penggal 167, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000.00 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Bagi pekerja tempatan yang belum didaftarkan dan dicarumkan ke TAP, mereka adalah digalakkan untuk membuat aduan ke mana-mana cawangan TAP bagi membolehkan pihak TAP membuat tindakan dan pemeriksaan lanjut.

Di samping itu juga, pihak TAP memohon kerjasama dari majikan atau ahli-ahli untuk memaklumkan pihak TAP jika ada pertukaran maklumat bagi memudahkan pengemaskinian maklumat ahli.

TAP juga mengalu-alukan orang awam untuk mengunjungi mana-mana cawangan TAP bagi sebarang pertanyaan yang berhubungkait dengan TAP.