Pertandingan "Explorace Kitani" Sempena Hari Warga Emas Tahun 2011 Negara Brunei Darussalam
Satu pertandingan yang dianjurkan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) iaitu ”Explorace Kitani” telah diadakan pada hari Ahad, 23 Zulhijjah 1432 bersamaan 20 November 2011 pada pukul 7.30 pagi di Jerudong Park Playground, Jerudong. Acara ini adalah kerjasama TAP bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam meraikan Hari Warga Emas Tahun 2011 Negara Brunei Darussalam yang disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
”Explorace Kitani” merupakan pertandingan secara berkumpulan yang mana setiap kumpulan hendaklah mempunyai dua (2) orang peserta iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Seorang peserta berumur di antara 18-55 tahun dan ahli TAP yang aktif dan yang seorang lagi berumur 60 tahun ke atas.
Majlis Sambutan Hari Warga Emas Tahun 2011 Negara Brunei Darussalam ini dilancarkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Tabung Amanah Pekerja, yang juga selaku Tetamu Kehormat. Turut sama hadir ialah Pengarah Urusan TAP, Dyg. Norliah bt. Hj. Kula, Ketua-Ketua Jabatan dari TAP, dan JAPEM.
Pertandingan “Explorace Kitani” telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Tabung Amanah Pekerja, dan dimenangi oleh pasangan Dyg. Hjh Punggut bt. Hj Said dan pasagannya dengan menerima Akaun Simpanan Al-Wadiah berupa $700.00 setiap seorang sumbangan dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Tempat kedua pula dimenangi oleh pasangan Pg. Ahmad bin Pg. Hj. Metassan dan pasangannya dengan menerima akaun simpanan yang sama berupa $500.00 setiap seorang. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasangan Awg. Hj. Md. Zain bin Mohammad dan pasangannya dengan menerima akaun simpanan sebanyak $300.00 setiap seorang, 20 kumpulan teratas juga turut menerima hadiah akaun simpanan tersebut sebanyak $100.00 setiap seorang. Para peserta turut menerima cenderahati sumbangan dari TAP.


Adapun tujuan utama Pertandingan “Explorace Kitani” ini diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai perkhidmatan yang ada di TAP, mengenai Caruman Sukarela serta meningkatkan penglibatan warga tua dalam masyarakat, di samping itu meraikan dan membuatkan mereka rasa gembira dan dihargai. Melalui aktiviti ini juga, TAP berharap akan dapat mengekalkan masyarakat sejahtera, pemedulian, penyayang dan menanam rasa cinta, kasih dan hormat terhadap warga emas.