Didenda Tidak Bayar Caruman Tabung Amanah Pekerja

Dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara dan bagi memastikan majikan mematuhi Akta TAP dan Aturan-Aturan TAP 1992, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara baru-baru ini menyambung sebutan kes pendakwaan ke atas dua (2) buah syarikat, kerana gagal membayar caruman pekerja. Kedua-dua kes berkenaan telah disebutkan di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan pada 26 Julai 2011 dan 8 Ogos 2011 yang lalu.

Syarikat yang disebutkan pada 26 Julai 2011 telah diwakili oleh Pengarah Urusannya dan beliau telah mengaku bersalah ke atas semua 18 tuduhan kerana tidak membuat pembayaran caruman TAP bagi pekerjanya dari bulan Oktober 2009 hingga Januari 2011. Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan telah menjatuhi hukuman denda kepada syarikat tersebut sebanyak $14,400.00. Selain dari itu, syarikat tersebut juga dikehendaki untuk membayar caruman dan kerugian dividen yang tertunggak sebanyak $5,828.66 kepada TAP.

Manakala sebutan bagi syarikat yang kedua pula telah diadakan pada 8 Ogos 2011 dan diwakili oleh Pengarahnya. Beliau telah mengaku bersalah ke atas lapan (8) tuduhan yang sama iaitu tidak membuat pembayaran caruman TAP bagi pekerjanya bermula pada Oktober 2007 hingga Ogos 2008. Mahkamah dengan itu telah menjatuhi hukuman denda sebanyak $4,800.00 kepada syarikat tersebut dan $2,503.89 lagi untuk membayar caruman dan kerugian dividen yang tertunggak kepada TAP.

Di bawah Seksyen 26 Akta TAP, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000.00 bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Dalam hal ini, TAP juga ingin mengingatkan kepada majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP sebelum 15hb pada bulan berikutnya bagi mengelakkan caj lewat pembayaran. Pada masa yang sama, jika ada pekerja yang belum didaftarkan ke TAP atau tidak dibayarkan caruman TAP, adalah dinasihatkan untuk membuat aduan ke TAP di talian 2382929 sambungan ke Jabatan Penguatkuasaan.