Taklimat TAP dan Perancangan Kewangan Di Institut Perkhidmatan Awam

Sabtu, 18 April 2009 – Taklimat TAP dan Perancangan Kewangan yang diungkayahkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat dari Tabung Amanah Pekerja (TAP) diteruskan lagi hari ini di Institut Perkhidmatan Awam yang mana kali ini pula diadakan kepada seramai 120 orang bakal-bakal pesara dari sektor kerajaan dalam bahagian IV.


Taklimat pertama dimulakan oleh Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP dengan menerangkan mengenai peranan TAP sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan untuk hari persaraan di negara ini. Beliau juga menerangkan bahawa ekoran keadaan ekonomi dan pasaran pelaburan global yang sukar diramalkan, pulangan pelaburan tidak semestinya memberikan kadar yang positif dan tinggi. Beliau juga menasihatkan kepada bakal-bakal pesara agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim-skim cepat kaya yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Turut menyampaikan taklimat mengenai Konsep Perancangan Kewangan ialah Awg Muhd Yazid bin Yakub, Pengurus Perkhidmatan Pelaburan dan Produk Bancassurance dari Bank Standard Chartered Brunei. Beliau pada masa yang sama menekankan mengenai kepentingan perancangan kewangan sebelum mengongsikan tips dan strategi utama didalam mencapai status kewangan yang sihat.

Selain dari itu, peserta juga mendengar taklimat yang disampaikan oleh wakil dari Majlis Ugama Islam Brunei, Ustaz Haji Md Shukri Haji Ahmad, untuk memberikan penerangan mengenai zakat. Antara lain beliau mengingatkan tentang kewajipan setiap umat Islam dan syarat-syarat dalam membayar zakat.

Bagi mana-mana institusi yang berkehendakkan pihak TAP untuk memberikan taklimat TAP dan Perancangan Kewangan bolehlah berhubung dengan Jabatan Komunikasi Korporat di talian 2382929 sambungan 720 atau Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.