Pekerja Tempatan Didedahkan Mengenai Skim TAP dan SCP serta Perancangan Kewangan

Khamis, 22 Disember 2011 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini meneruskan lagi taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), Pencen Caruman Tambahan (SCP) dan Perancangan Kewangan kepada seramai 100 orang pekerja-pekerja tempatan yang baru berdaftar ke TAP pada bulan September-November 2011 yang bermastautin di Daerah Brunei dan Muara.

Taklimat mengenai skim TAP disampaikan oleh Penyelia di Jabatan Komunikasi Korporat, Dyg. Aidah bt. Awang manakala skim SCP pula disampaikan oleh Pemangku Penyelia, Dyg. Rozielawati bt. Hj. Jamil. Taklimat yang disampaikan menyentuh mengenai dengan objektif taklimat yang merangkumi sejarah penubuhan, kadar caruman, dan skim pengeluaran serta manfaat skim TAP dan juga skim SCP. Di samping itu, peserta juga diberi penerangan mengenai Caruman Sukarela yang kini boleh dibuat melalui kaunter oleh ahli-ahli TAP sendiri. Pihak TAP menggalakkan ahli-ahli untuk membuat caruman sukarela bagi menambah lagi simpanan dana untuk kesenangan ahli-ahli itu sendiri di hari persaraan kelak.

Selepas itu, peserta juga diberikan taklimat Perancangan Kewangan yang telah disampaikan oleh Pengurus dari
Wealth Management Unit, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dyg. Hjh. Isnora bte Minudin, seorang Perancang Kewangan yang bertauliah (Chartered Financial Consultant-ChFC). Melalui taklimat Perancangan Kewangan ini, para peserta telah diberi penerangan yang lebih terperinci akan kepentingan setiap individu untuk mempunyai pengurusan kewangan yang teratur serta memikul tanggungjawab ke atas kewangan sendiri. Menurut Dyg. Hjh. Isnora, perancangan kewangan yang teratur juga akan dapat membantu peserta untuk tidak terlalu bergantung pada orang lain atau mana-mana institusi kewangan.

Untuk keterangan yang lebih lanjut mengenai skim TAP dan SCP, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang TAP di
www.tap.gov.bn atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800. Manakala bagi mana-mana pihak yang berkehendakkan taklimat yang sama, mereka bolehlah berhubung terus ke Jabatan Komunikasi Korporat, TAP di talian 2382929 sambungan 720/750.