Jerayawara Bulan Perancangan Kewangan
Isnin, 1 Mac 2010 – Dalam usaha untuk mewujudkan dan menambahkan pengetahuan mengenai Perancangan Kewangan melalui Jerayawara yang giat aktif diadakan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) juga turut memberikan taklimat yang sama kepada pegawai dan kakitangannya hari ini. Lebih kurang 100 orang hadir bagi sesi pagi dan petang yang diadakan di Dewan Teater, Kementerian Kewangan di Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Pemangku Pengarah Urusan TAP, Yang Mulia Awg Hj Mohd Don bin Hj Abd Hamid.
Taklimat dimulakan dengan penerangan mengenai skim TAP dan SCP yang disampaikan oleh Yang Mulia Awg Md Reza bin Hj Zainal Abidin, Pemangku Penolong Pengurus dari Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Taklimat ini diterangkan dengan lebih lanjut bagi memastikan dan meningkatkan kefahaman pegawai dan kakitangan TAP mengenai skim-skim berkenaan.
Taklimat mengenai Perancangan Kewangan pula disampaikan oleh “Associate Financial Planner”, Yang Mulia Dyg Hjh Raeidyah bte Hj Bujang, Pegawai Pelaburan, TAP yang mana telah menerangkan mengenai kepentingan membuat perancangan kewangan agar tidak perlu bergantung kepada orang lain atau mana-mana institusi kewangan yang lain di kemudian hari. Beliau juga menerangkan pentingnya mendisiplinkan diri didalam perbelanjaan serta mengongsikan beberapa panduan didalam pengawalan hutang.
Taklimat ini juga merupakan pembukaan Jerayawara Bulan Perancangan Kewangan yang diungkayahkan oleh pihak TAP dimana sepanjang bulan Mac ini, beberapa taklimat dan aktiviti telah diaturkan kepada organisasi dan institusi pendidikan dengan melibatkan kerjasama daripada bank-bank di negara ini.






