Syarikat Tempatan Di Denda Atas Kesalahan Dibawah Akta TAP dan Peraturanya
Dalam usaha untuk memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara dan bagi memastikan majikan mematuhi Akta TAP Penggal 167 dan Aturan-Aturan TAP 1992, Jabatan Perundangan TAP dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara telah memulakan pendakwaan kes pertamanya keatas sebuah syarikat tempatan, kerana gagal membayar caruman pekerja. Kes tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Magistret Bandar Seri Begawan pada Isnin, 3 Jamadilakhir 1431 bersamaan dengan 17 Mei 2010.
Syarikat tersebut, yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, telah mengaku bersalah keatas kesemua tujuh tuduhan kerana tidak membuat pembayaran caruman TAP bagi pekerjanya dari Disember 2005 hingga Februari 2007. Sehubungan dengan itu, Mahkamah Majestret, Bandar Seri Begawan telah menjatuhi hukuman denda kepada syarikat tersebut sebanyak $5,600.00 dan syarikat tersebut juga dikehendaki untuk membayar jumlah caruman dan dividen yang tertunggak sebanyak $1,125.77.
Dibawah Seksyen 26 Akta TAP Penggal 167, sesiapa yang didapati bersalah melanggar Akta TAP Penggal 167 dan Aturan-Aturan TAP 1992, jika sabit akan dikenakan denda tidak melebihi $3000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.
Dalam hal ini TAP juga ingin menasihatkan kepada majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP sebelum 15hb pada bulan berikutnya bagi mengelakkan pembayaran denda. Pada masa yang sama adalah dinasihatkan kepada pekerja yang belum berdaftar ataupun caruman bulanan mereka tidak dibayarkan ke dalam akaun TAP, mereka bolehlah membuat aduan ke TAP.
Jika ada sebarang pertanyaan mengenai TAP, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.