Taklimat TAP dan Perancangan Kewangan Bakal-Bakal Pesara

Sabtu, 4 April 2009 – Buat pertama kalinya, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dengan kerjasama dari Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri hari ini mengadakan taklimat TAP dan Perancangan Kewangan sebagai salah satu acara bagi bakal-bakal pesara yang berkursus di institut berkenaan.

Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti TAP didalam memberikan dan menambahkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan (Financial Planning) kepada orang ramai terutama didalam memikul tanggungjawab kewangan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain atau mana-mana pihak.

Taklimat disampaikan oleh Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP dengan menerangkan mengenai peranan TAP sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan persaraan yang terbaik di negara ini. Beliau juga menerangkan bahawa ekoran keadaan ekonomi dan pasaran pelaburan global yang sukar diramalkan, pulangan pelaburan tidak semestinya memberikan kadar yang positif dan tinggi. Beliau juga menasihatkan kepada bakal-bakal pesara agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim-skim cepat kaya yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Manakala wakil institusi kewangan yang dijemput bagi menyampaikan Konsep Perancangan Kewangan ialah Dayang Ida Nazrena binti Haji Bujang, Pengurus dari BICB Capital Sdn Bhd. Beliau menerangkan betapa pentingnya perancangan kewangan bagi bakal-bakal pesara memandangkan tiada gaji yang akan diterima bagi menampung ataupun mengekalkan gaya kehidupan. Ini termasuk membuat perancangan bagi memastikan dana persaraan mereka akan terus terjaga dan berkembang. Beliau turut mengongsikan beberapa tips untuk memulakan perancangan kewangan bagi bakal-bakal pesara.

TAP juga ingin memaklumkan bahawa kaunter TAP di ibu pejabat adalah dibuka setiap hari Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Taklimat yang sama akan diadakan lagi kepada peserta kursus yang lain minggu hadapan, Sabtu, 11 April 2009 di tempat yang sama.