Taklimat TAP dan Perancangan Kewangan

Sabtu, 11 April 2009 – Susulan kerjasama di antara Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, taklimat TAP dan Perancangan Kewangan diteruskan lagi kepada bakal-bakal pesara yang berkursus di institut berkenaan hari ini.

Taklimat dimulakan oleh Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP dengan menerangkan mengenai peranan TAP sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial yang menyediakan simpanan persaraan yang terbaik di negara ini. Beliau juga menerangkan bahawa ekoran keadaan ekonomi dan pasaran pelaburan global yang sukar diramalkan, pulangan pelaburan tidak semestinya memberikan kadar yang positif dan tinggi. Beliau juga menasihatkan kepada bakal-bakal pesara agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan skim-skim cepat kaya yang menawarkan pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat.

Manakala, Dyg Siti Aminah bte Haji Abdul Rahman, Perancang Kewangan dari Baiduri Bank Bhd, menerangkan mengenai asas perancangan kewangan. Beliau menekankan kepentingan membuat perancangan kewangan didalam mencapai objektif jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang agar individu dapat mencapai kebebasan kewangan ataupun financial independence dengan tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak untuk keperluan kewangan. Selain dari itu, beliau turut memberikan beberapa tips memulakan perancangan kewangan termasuk pengawalan hutang.

Selain daripada taklimat perancangan kewangan, TAP juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Ugama Islam, Brunei untuk menyampaikan taklimat mengenai Zakat, yang mana telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Md Shukri Haji Ahmad, Ketua Bahagian Pentadbiran Unit Kutipan dan Agihan Zakat.

Taklimat yang sama akan diadakan lagi kepada peserta kursus yang lain minggu hadapan, Sabtu, 18 April 2009 di tempat yang sama.