Taklimat Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) & Pencen Caruman Tambahan (SCP) Untuk Kursus Induksi

Khamis, 22 September 2011 – Penubuhan Tabung Amanah Pekerja (TAP) pada tahun 1993 adalah selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana dihasratkan bagi menampung hari tua rakyat dan penduduk negara ini melalui simpanan secara wajib bagi kegunaan apabila bersara.

Perkara ini telah disentuh oleh Dyg. Aidah bt. Awang, Penyelia dari Jabatan Komunikasi Korporat, TAP dalam taklimat skim TAP dan SCP yang diberikan kepada seramai 50 orang pegawai dan kakitangan kerajaan yang baru berkhidmat dari kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan atas jemputan pihak Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri yang diadakan di Dewan Penghayatan, IPA, Kg. Rimba, Gadong.

DSC_0025

Beliau mengongsikan bahawa ahli adalah dimestikan untuk mencarum 5% dari gaji pokok mereka dan 5% lagi akan dicarumkan oleh pihak majikan. Dana terkumpul ahli tersebut hanya boleh dikeluarkan melalui enam (6) skim-skim pengeluaran yang termaktub di dalam Akta TAP Penggal 167.

Taklimat mengenai skim SCP yang mula dikuatkuasakan operasinya pada 1 Januari 2010 pula telah disampaikan oleh Dyg. Rozielawati bt. Hj. Jamil, Pemangku Penyelia di jabatan yang sama. Skim SCP, tambahan kepada skim TAP bertujuan untuk memastikan semua peserta yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, akan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (anuiti) sebanyak $150.00 apabila mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun. Peserta taklimat juga diberikan penerangan mengenai dengan beberapa elemen yang terdapat dalam skim SCP seperti manfaat SCP Khas atau Turunan dan Perlindungan
”Survivorship.”

DSC_0023

Jika ada pihak yang berminat untuk menjemput wakil TAP bagi mengadakan taklimat yang sedemikian, bolehlah menulis surat atau berhubung terus ke Jabatan Komunikasi Korporat di talian 2382929 sambungan 720/750.