Taklimat Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) & Persaraan Caruman Tambahan (SCP)

Sabtu, 15 Mei 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini mengadakan taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Persaraan Caruman Tambahan (SCP) kepada majikan-majikan dan pekerja-pekerja tempatan dari Daerah Brunei dan Muara. Taklimat tersebut dihadiri oleh seramai lebih kurang 150 orang yang bertempat di Dewan Teater, Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive.

Tujuan ianya diadakan adalah sebagai salah satu usaha pihak TAP didalam meningkatkan lagi kesedaran dan kefahaman majikan dan pekerja berkenaan mengenai skim-skim berkenaan.

Taklimat Skim TAP dan SCP telah disampaikan oleh Yang Mulia Awg Md Reza bin Hj Zainal Abidin, Pemangku Penolong Pengurus, Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Beliau menyentuh mengenai dengan sejarah penubuhan, kadar caruman dan skim pengeluaran serta manfaat skim-skim berkenaan.

Skim TAP telah ditubuhkan pada 1 Januari 1993 yang mana ahli-ahlinya terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau swasta dan berumur 55 tahun ke bawah. Ahli dimestikan mencarum 5% dari gaji pokok mereka dan 5% lagi akan dicarumkan oleh pihak majikan. Caruman terkumpul adalah bertujuan untuk membantu ahli-ahli mempunyai simpanan tetap dalam membantu kesejahteraan di hari persaraan mereka. Dana terkumpul ahli tersebut bolehlah dikeluarkan melalui skim-skim pengeluaran seperti berikut yang mana tersebut di dalam Akta TAP:

Pengeluaran 55 tahun
Pengeluaran 50 tahun
Membeli atau membina rumah baru
Hilang Upaya
Berhijrah ke negara lain
Hak waris

Beliau juga turut menerangkan mengenai skim SCP yang mula dikuatkuasakan operasinya pada 1 Januari 2010. Skim SCP, tambahan kepada Skim TAP bertujuan untuk memastikan semua peserta yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, akan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (annuiti) sebanyak $150.00 apabila mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun. Melalui skim ini, dana simpanan terkumpul akan diterima secara bulanan dengan jumlah minimum sebanyak $150.00. Di samping bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak $250.00 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, jumlah pendapatan minimum bulanan adalah $400.00.

Melalui skim SCP ini, rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau swasta dikehendaki membuat caruman bulanan sebanyak 3.5% dari gaji pokok dan majikan juga akan mencarum kadar yang sama, yang mana caruman minimum adalah B$17.50 dan caruman maksimum pula B$98.00.

Selain dari itu, peserta taklimat juga diberikan penerangan mengenai dengan beberapa elemen yang terdapat dalam skim SCP seperti manfaat SCP Khas dan Perlindungan ”Suvivorship” . Manfaat ini adalah bagi memastikan jaminan kesejahteraan tanggungan ahli yang meninggal sebelum umur persaraan mandatori 60 tahun dengan menerima Pencen SCP Khas (dana SCP ahli yang telah meninggal) dan manfaat Perlindungan ”Survivorship” sebanyak minimum $400.00 selama 15 tahun dari tarikh ahli berkenaan meninggal.

Antara lain taklimat yang disampaikan adalah mengenai Tatacara Pembayaran Caruman TAP oleh Yang Mulia Awg Akramin bin Hj Ash’ari, Pengurus bagi Cawangan Yayasan dan Temburong. Tatacara bagi Pengisian Borang Pembayaran Caruman pula disampaikan oleh Yang Mulia Awg Salleh bin Hj Puasa, Penolong Pengurus dari Jabatan Pusat Rangkaian Perkhidmatan, TAP. Taklimat mengenai Akta TAP dan Aturan-aturannya pula telah disampaikan oleh Penasihat Undang Undang dari Pejabat Peguam Negara, Pg. Siti Rosanidah bte Pg. Hj Idris.

IMG_0786IMG_0792IMG_0796IMG_0795IMG_0794IMG_0814IMG_0829IMG_0840