Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Syari'e Kerjasama Dengan TAP Dalam Kursus Pra Nikah
Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat baru-baru ini telah mengadakan taklimat mengenai skim TAP, SCP dan Perancangan Kewangan kepada peserta-peserta yang mengikuti program kursus pra nikah di beberapa buah masjid di Negara Brunei Darussalam. Taklimat mengenai skim TAP, SCP dan Perancangan Kewangan adalah sebahagian daripada program yang disusun di dalam Kursus Pra Nikah dengan kerjasama daripada Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Syari’e, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Di Masjid Jame ’Asr Hassanil Bolkiah, Kg. Kiarong, taklimat skim TAP dan SCP telah disampaikan oleh Dyg. Rozielawati bt. Hj. Jamil, Pemangku Penyelia di Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Taklimat Perancangan Kewangan pula disampaikan oleh Perancang Kewangan yang diiktiraf (Certified Financial Planner-CFP), Dyg. Hjh. Siti Suhaila bt. Dato Hj. Abd. Kani, Pengurus di Royal Bank of Canada (RBC). Di hari kedua pula, taklimat mengenai Perancangan Kewangan telah disampaikan oleh Dyg. Siti Aminah bt. Hj. Abd. Rahman (Cert. FP dan Cert. IFP), Pegawai Kanan dari Wealth Management Centre, Bank Baiduri. Program yang dibahagikan kepada dua (2) hari iaitu bagi sesi lelaki dan perempuan itu dihadiri oleh seramai lebih kurang 150 orang peserta keseluruhannya.
Manakala di Masjid Mohamad Bolkiah, Kg. Serusop pula, taklimat yang sama telah disampaikan oleh Dyg. Aidah bt. Awang, Penyelia di Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Di hari pertama program berkenaan, taklimat mengenai Perancangan Kewangan telah disampaikan oleh Awg. Md. Nuh b. Abd. Aziz Johari, CFP, dari Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC). Di hari kedua pula, ianya telah disampaikan oleh Awg. Hj. Shamsul b. Hj. Muhamad, ChFC, Pengurus Pemasaran dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Sesi taklimat dua (2) hari di masjid ini telah dihadiri oleh seramai lebih kurang 70 orang peserta lelaki dan perempuan.
Bagi Daerah Tutong dan Belait, taklimat yang sama juga telah disampaikan oleh Pg. Md. Shahrom b. Pg. Hj. Ismail, Pemangku Ketua Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Seramai lebih kurang 70 orang peserta menghadiri program tersebut. Pihak TAP juga turut mengundang penceramah dari HSBC, Dyg. Suriayati bt. Bujang, ChFC, untuk menyampaikan taklimat mengenai Perancangan Kewangan.
Taklimat seumpama ini adalah sebahagian daripada usaha TAP untuk memberikan penjelasan mengenai dengan skim TAP dan SCP termasuk faedah-faedah yang terdapat dalam skim tersebut dan di samping itu juga memberi pengetahuan mengenai dengan Perancangan Kewangan supaya masyarakat dapat menanamkan budaya menabung dan berjimat cermat dalam perbelanjaan. Diharapkan juga para bakal pengantin akan dapat memanfaatkan ilmu yang dikongsikan semasa taklimat tersebut.