TAP Teruskan Jerayawara Perancangan Kewangan
Selasa, 31 Mac 2009 - Penubuhan Tabung Amanah Pekerja (TAP) pada tahun 1993 adalah selaras dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana dihasratkan bagi menampung hari tua rakyat dan penduduk negara ini melalui simpanan secara wajib bagi kegunaan apabila bersara.
Perkara ini telah disentuh oleh Dayang Sri Nazrina Haji Johari, Penolong Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dari Tabung Amanah Pekerja (TAP) di Jerayawara Perancangan Kewangan yang diberikan kepada seramai 90 orang kakitangan Setia Protective Security Services (SPSS) Sdn Bhd yang terdiri daripada pengawal keselamatan lelaki pengambilan ke 41 dan wanita ke 10.
Taklimat pada hari ini disampaikan oleh Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan, bagi menerangkan mengenai peranan TAP sebagai salah sebuah organisasi keselamatan sosial di Negara ini didalam menyediakan simpanan persaraan. Beliau antara lain turut menekankan peranan TAP sebagai salah satu kaedah perancangan kewangan untuk persaraan serta proses pelaburan dana TAP. Selain dari itu, beliau juga memberikan penerangan mengenai impak krisis yang melanda pasaran pelaburan global keatas pulangan mana-mana pelaburan.
Manakala penceramah jemputan, Md Daud bin Abd Hamid, salah seorang pengurus dari CIMB Bank, Malaysia, menerangkan mengenai Konsep Perancangan Kewangan dan kepentingannya didalam mencapai kebebasan daripada beban kewangan. Antara perkara yang ditekankan adalah kepentingan berbelanja dengan berhemat, mendisiplinkan diri didalam menyimpan, serta mengawal hutang. Beliau juga memberikan beberapa tips didalam merancang kewangan.
Jerayawara Perancangan Kewangan ini adalah salah satu pendekatan yang diambil oleh TAP didalam memberikan dan menambahkan pengetahuan mengenai perancangan kewangan dan kepentingannya. Baru-baru ini, pada minggu lepas, TAP telah bekerjasama bersama Jabatan Perkembangan Kurikulum (Kementerian Pendidikan) bagi melancarkan Financial ExploRace 2009 kepada penuntut-penuntut sekolah menengah, satu pendekatan baru yang diungkayahkan untuk memberikan kesedaran yang sama kepada generasi muda.