Operasi Lawatan Penguatkuasaan
Khamis, 10 Jun 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) hari ini meneruskan lagi lawatan bersiri yang diungkayahkan oleh Jabatan Penguatkuasaan di kawasan Sengkurong, Mukim Sengkurong. Pemeriksaan ini melibatkan seramai tujuh (7) orang pemeriksa TAP dan bermula dari jam 8.00 pagi.
Tujuan lawatan pemeriksaan ini adalah bagi memastikan kepatuhan majikan dalam melaksanakan tanggungjawab ke atas pendaftaran dan caruman pekerja-pekerja tempatan.
Dalam operasi kali ini, sebanyak 35 buah premis telah diperiksa di mana 18 buah premis telah didapati belum berdaftar. Manakala jumlah pekerja tempatan yang diperiksa ialah seramai 56 orang dan pihak TAP telah mendapati 13 orang daripada mereka tidak berdaftar atau dicarumkan ke TAP. Sehubungan dengan itu, majikan-majikan tersebut telah dinasihatkan dan diberi peringatan supaya mendaftarkan dan membayarkan caruman TAP pekerja-pekerja tempatan mereka. Kegagalan mendaftar dan membayar caruman TAP bagi pekerja-pekerja mereka adalah menjadi kesalahan di bawah Akta TAP Penggal 167 yang mana boleh didakwa dan dikenakan denda di mahkamah.
Disamping berinteraksi dengan pihak majikan dan pekerja, pemeriksa TAP juga turut memberikan kefahaman dalam mendedahkan lagi ahli dan majikan dengan Akta TAP dan juga Aturan-Aturannya serta menyebarluaskan lagi maklumat mengenai TAP.
Jabatan Penguatkuasaan TAP akan terus mengadakan operasi-operasi seperti ini bagi memastikan kesejahteraan setiap pekerja tempatan sentiasa terpelihara.