Jerayawara Perancangan Kewangan

Selasa. 5 Mei 2009 - Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat hari ini meneruskan lagi Jerayawara Perancangan Kewangan didalam usaha untuk menambahkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan perancangan kewangan di kalangan remaja. Kira-kira 500 penuntut yang terdiri daripada Menengah Enam Bawah Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah telah menghadiri jerayawara berkenaan bertempat di Dewan Auditorium Maktab berkenaan.

Dayang Hajah Raeidyah binti Haji Bujang, Pegawai Pelaburan TAP, memberikan penerangan kepada penuntut berkenaan mengenai peranan TAP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial di Negara ini dan kaitannya dengan perancangan kewangan, terutama untuk persaraan. Beliau turut menambah sifat suka menyimpan dan sifat suka berbelanja boleh memberikan kesan kepada cara hidup setelah bersara, iaitu peringkat di mana individu tidak lagi menerima gaji.

Manakala wakil dari Bank Baiduri, Dayang Siti Aminah binti Haji Abd Rahman, perancang kewangan yang diiktiraf, menyampaikan lingkungan-lingkungan konsep perancangan kewangan. Beliau menekankan setiap impian memerlukan perancangan kewangan, ini termasuk impian untuk belajar di luar negeri, untuk membeli kereta atau untuk memiliki rumah. Turut dikongsikan sepanjang taklimat beliau adalah beberapa tips untuk memulakan perancangan kewangan di peringkat muda.

Sejak pelancaran Jerayawara Perancangan Kewangan pada tahun 2005, TAP telah menyelaraskan berbagai aktiviti perancangan kewangan seperti Teater Muzikal Perancangan Kewangan untuk kanak-kanak, Financial ExploRace untuk generasi muda, Peraduan Melukis Poster dan lain-lain. Selain dari itu jua, TAP terus mengadakan jerayawara perancangan kewangan kepada organisasi-organisasi dari sektor awam dan sektor swasta. Mana-mana institusi atau sekolah-sekolah yang berkehendakkan pihak TAP untuk mengadakan taklimat yang sama bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.


DSC_7810DSC_7812




DSC_7825DSC_7827