Financial ExploRace 2009

Khamis, 26 Mac 2009 – Perancangan Kewangan yang buat pertama kalinya dipromosikan melalui permainan, Financial Explorace 2009, diadakan pada hari ini Ianya adalah hasil kerjasama diantara Tabung Amanah Pekerja, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan turut disokong oleh bank Standard Chartered, Brunei Darussalam. Sasaran bagi kali ini adalah penuntut-penuntut yang terdiri daripada sekolah menengah dari daerah Tutong dan daerah Belait. Acara ini berlangsung di Sekolah Menengah Saiyyidina Othman, Tutong.
Financial ExploRace ini, adalah berbentuk permainan yang berkonsepkan pendidikan kewangan. Permainan ini juga adalah salah satu kaedah pendekatan TAP untuk mempromosikan, mendidik dan mendedahkan orang ramai terutama penuntut sekolah mengenai dengan isu-isu kewangan. Adapun objektif Financial ExploRace ini ialah

- Memberi kesedaran kepada penuntut sekolah mengenai kepentingan perancangan kewangan;
- Untuk memperkenalkan konsep menabung, berbelanja dengan bijak, bersedekah dan pelaburan asas;
- Memberi peluang kepada guru-guru untuk bertukar-tukar idea didalam memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan kewangan

Financial ExploRace 2009 kali pertama ini, telah dilancarkan oleh tetamu kehormat, Awang Yusof bin Haji Abd Rahman, Pengarah Urusan TAP. Sebelum itu, ucapan alu-aluan telah dibuat oleh Awang Irwandy bin Haji Lois, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat TAP, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Financial ExploRace 2009.

Dalam acara ini, Penuntut yang mewakili sekolah mereka diberikan tugasan untuk mencari pekerjaan bagi mendapatkan gaji bagi membolehkan mereka membeli barang keperluan. Dengan bayangan sebagai penuntut Universiti yang ingin menyara kehidupan tanpa bergantung kepada orang lain, peserta-peserta diberikan peluang untuk mengatur perbelanjaan mereka dengan bijak. Turut dimasukkan didalam permainan ini ialah penggunaan kad kredit, pelaburan skim cepat kaya dan peminta sedekah, yang boleh mempengaruhi kewangan peserta.

Permainan yang berlangsung selama 2 jam ini memberikan cabaran fizikal dan mental kepada peserta dengan berbagai ujian termasuk bekerja dalam berpasukan, menjadi pemimpin, membuat perangkaan dan perancangan keatas setiap perbelanjaan, membuat keputusan serta menguji pengetahuan dan minda mereka dalam hal ehwal perancangan kewangan.

Sekolah Menengah PJNHAB Mumong menjadi juara Financial Explorace 2009 dimana jumlah ’simpanan’ dan markah bonus mereka adalah yang tertinggi berbanding yang lain setelah mengharungi tugasan yang diberikan. Antara hadiah utama yang diberikan kepada pemenang adalah Akaun Student ezSavings setiap seorang dari bank Standard Chartered, medal, tabung TAP dan sijil penyertaan.

Acara ini juga adalah merupakan susulan daripada aktiviti perancangan kewangan yang masih giat diadakan sejak tahun 2005 lagi, melalui Jerayawara Perancangan Kewangan kepada sektor kerajaan, sektor swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi dengan kerjasama daripada Perancang Kewangan yang diiktiraf dari bank-bank di Negara ini. Manakala pada tahun 2008, pendekatan perancangan kewangan melalui Teater Muzikal Perancangan Kewangan telah dilancarkan kepada murid-murid sekolah rendah.

Acara ini juga akan diadakan bagi sekolah-sekolah menengah di daerah Brunei Muara dan Temburong.




Peserta dari Sekolah-Sekolah Menengah dari Daerah Tutong dan Belait bergambar ramai.


DSC_6709_20090326_1194

Salah satu tugasan yang perlu diselesaikan

DSC_6789_20090326_1274