TAP Tekankan Pentingnya Perancangan Kewangan Kepada Ahli-Ahli

Isnin, 18 Julai 2011 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini meneruskan jerayawara mengenai Perancangan Kewangan khusus kepada ahli-ahli TAP yang akan mencapai umur 50 tahun dan 55 tahun pada tahun ini, yang diadakan di sebelah pagi, dan juga kepada pekerja-pekerja yang baru berdaftar ke TAP pada bulan April-Jun 2011, yang diadakan di sebelah petang. Peserta-peserta terdiri daripada mereka yang bermastautin di Daerah Belait. Taklimat dihadiri oleh seramai 200 orang dan bertempat di Dewan Rumah Persinggahan Kerajaan di Jalan Maulana, Kuala Belait.

Taklimat dimulakan dengan pengenalan mengenai skim TAP dan SCP kepada ahli-ahli tersebut yang disampaikan oleh Dyg. Rozielawati bt. Hj. Jamil, Pemangku Penyelia di Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Penerangan yang disampaikan termasuk skim-skim pengeluaran TAP yang ada serta mengenai tatacara bagi ahli ketika membuat permohonan Skim Pengeluaran sepertimana yang terdapat dan dibenarkan dalam Akta TAP penggal 167, di mana ahli boleh membuat pengeluaran melalui Skim Pengeluaran 50 tahun dan 55 tahun apabila genap mencapai umur 50 dan 55 tahun, masing-masing sebanyak 25% maksimum dan 100% dari jumlah simpanan.

Di sebelah petang pula, Dyg. Rozielawati turut menerangkan kepada pekerja-pekerja baru berkenaan mengenai sejarah penubuhan, kadar caruman, serta manfaat skim TAP dan juga skim SCP. Di samping itu, peserta juga diberi penerangan mengenai Caruman Sukarela yang kini boleh dibuat melalui kaunter oleh ahli-ahli TAP sendiri. Pihak TAP menggalakkan ahli-ahli untuk membuat caruman sukarela bagi menambah lagi simpanan dana untuk kesenangan ahli-ahli itu sendiri di hari persaraan kelak. Pembayaran bolehlah dibuat di mana-mana kaunter TAP dengan hanya mengisikan
’Deposit Slip’ yang disediakan.

Beliau juga turut menerangkan mengenai perbezaan di antara skim TAP dan SCP yang mana mempunyai faedah dan manfaat yang berlainan. Kadar caruman bagi TAP adalah 5% manakala bagi SCP pula adalah 3.5% dan kadar yang sama juga turut dicarumkan oleh pihak majikan. Pengiraan caruman bagi kedua-dua skim ini dibuat berdasarkan kepada gaji pokok. Walau bagaimanapun, tidak seperti skim TAP, skim SCP mempunyai caruman minimum dan maksimum.

Manakala bagi skim SCP pula, antara lain faedahnya adalah ahli akan menerima pembayaran dana simpanan secara anuiti (bulanan) selama 20 tahun apabila mencapai umur persaraan kebangsaan iaitu 60 tahun. Di samping itu juga, manfaat pelan
”survivorship” memberikan manfaat yang dikhaskan kepada keluarga atau tanggungan ahli apabila ahli skim SCP tersebut meninggal dunia sebelum mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun. Melalui manfaat pelan ”survivorship” ini, keluarga dan tanggungan ahli akan menerima manfaat berkenaan sebanyak $400.00 dan dana simpanan SCP ahli setiap bulan untuk tempoh 15 tahun bermula dari tarikh ahli tersebut meninggal.

Pihak TAP juga menjemput wakil dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Awg. Hj. Shamsul b. Hj. Muhamad, Pengurus Jualan yang juga Perancang Kewangan yang bertauliah
(Chartered Financial Consultant-ChFC) untuk menyampaikan mengenai kepentingan Perancangan Kewangan yang mana merangkumi pengurusan hutang piutang serta beberapa panduan dalam mengelakkan beban tersebut. Beliau juga menekankan bahawa pengurusan dan merancang kewangan dengan mengamalkan sikap bijak berbelanja akan dapat menjamin kehidupan yang lebih sejahtera. Antara kandungan taklimat yang disampaikan juga menyentuh mengenai kepentingan pengurusan perbelanjaan selain dari menyimpan dan melabur yang boleh mengembangkan nilai simpanan.

Taklimat kepada para bakal pesara ini merupakan taklimat yang ke-8 diadakan dan kepada pekerja-pekerja baru pula adalah yang ke-6 diadakan oleh TAP sebagai salah satu usaha dan inisiatif TAP untuk memberikan pengetahuan mengenai perancangan kewangan yang mana boleh membina masyarakat untuk mengamalkan budaya berjimat-cermat.