Taklimat Pematuhan

Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Pematuhan, hari ini (Selasa, 24 Mac 2009) meneruskan lagi sesi Taklimat Akta dan Peraturan TAP kepada lebih kurang 170 majikan dari sektor kerajaan dan swasta di Daerah Belait. Taklimat diadakan di Dewan Taklimat, Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah antara lain bagi memastikan majikan memahami tentang kehendak Akta dan Aturan TAP disamping memberikan peluang untuk berinteraksi dengan lebih dekat lagi bersama pegawai-pegawai TAP yang berkenaan.

Taklimat disampaikan oleh pegawai dari Tabung Amanah Pekerja dan Pejabat Peguam Negara. Awang Mohd Yusri Fauzi bin Haji Rosli, Penolong Pengurus Jabatan Pematuhan TAP antara lain memberikan penerangan mengenai tanggungjawab majikanterutamam didalam tatacara pendaftaran majikan dan pekerja, pembayaran caruman serta pengemaskinian maklumat ahli.

Pihak TAP juga mengingatkan kepada majikan berkenaan untuk menggunakan borang yang dikhaskan oleh TAP dan memastikan semua maklumat di dalam borang pendaftaran dan pembayaran adalah betul dan lengkap. Ini adalah bagi membolehkan maklumat dan caruman yang diterima diproses dan dikemaskinikan dengan sempurna.

Manakala, Pg Siti Rosanidah binti Pg Hj Idris, Penasihat Undang-Undang dari Pejabat Peguam Negara telah memberikan penerangan mengenai Akta dan Aturan TAP, Tanggungjawab majikan dan Kesalahan-Kesalahan. Antara lain, beliau menekankan tentang kewajipan majikan untuk mendaftarkan dan membayar caruman mana-mana pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini.

Takllimat ini juga adalah susulan daripada lawatan industri yang telah dijalankan oleh pemeriksa-pemeriksa dari Jabatan Pematuhan TAP di kawasan premis-premis perniagaan Seria dan Lumut pada 19 dan 23 Mac 2009 baru-baru ini. Hasil dari lawatan tersebut, TAP telah mendapati masih terdapat segelintir majikan yang gagal mendaftarkan pekerja-pekerja tempatan ke TAP. Dari seramai 272 pekerja yang diperiksa, 40 orang belum didaftarkan manakala 15 daripada 77 buah syarikat masih belum berdaftar di TAP.

Jabatan Pematuhan TAP akan terus mengadakan lawatan-lawatan industri dan taklimat-taklimat bagi memastikan kesejahteraan setiap pekerja tempatan sentiasa terpelihara.