Taklimat Tabung Amanah Pekerja (TAP), Persaraan Caruman Tambahan (SCP) Dan Perancangan Kewangan
Khamis, 27 Mei 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini meneruskan lagi sesi taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Persaraan Caruman Tambahan (SCP). Seramai lebih kurang 100 orang pekerja dan majikan dari Daerah Tutong mendengarkan Taklimat tersebut yang mengambil tempat di Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Taklimat tersebut dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pertama adalah bagi ahli yang baru berdaftar manakala sesi kedua adalah bagi pegawai dan kakitangan syarikat yang terlibat dalam memproses pembayaran caruman TAP dan SCP.
Taklimat Skim TAP dan SCP telah disampaikan oleh Yang Mulia Awg Rosli Bin Haji Haron, Pemangku Pengurus, Jabatan Komunikasi Korporat, TAP. Di dalam taklimat tersebut, beliau menyentuh mengenai dengan sejarah penubuhan, kadar caruman dan skim pengeluaran serta manfaat skim-skim berkenaan.
Skim TAP telah ditubuhkan pada 1 Januari 1993 yang mana ahli-ahlinya terdiri dari rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang bekerja di sektor awam atau swasta. Kadar caruman bagi Skim TAP ialah 5% dari gaji pokok pekerja dan 5% lagi akan dicarumkan oleh pihak majikan. Caruman terkumpul adalah bertujuan untuk membantu ahli-ahli mempunyai simpanan tetap dalam membantu kesejahteraan di hari persaraan mereka. Dana terkumpul ahli tersebut bolehlah dikeluarkan melalui skim-skim pengeluaran seperti berikut yang mana tersebut didalam Akta TAP:
Pengeluaran 55 tahun
Pengeluaran 50 tahun
Membeli atau membina rumah baru
Hilang Upaya
Berhijrah ke negara lain
Hak waris
Taklimat juga diteruskan dengan penerangan mengenai skim SCP yang telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2010. Skim SCP, adalah skim tambahan kepada Skim TAP dan ianya bertujuan untuk memastikan semua peserta yang telah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, akan menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (annuiti) sebanyak $150.00 selama 20 tahun apabila mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun. Di samping bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak $250.00 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, ahli SCP layak untuk menerima sekurang-kurangnya $400.00 setiap bulan bagi tempoh 20 tahun.
Kadar Caruman bulanan bagi Skim SCP adalah sebanyak 3.5% dari gaji pokok dan majikan juga akan mencarum kadar yang sama. Kadar caruman minimum adalah B$17.50 berdasarkan gaji $500 (Lima Ratus Ringgit) dan caruman maksimum pula $98.00 berdasarkan gaji $2800 (Dua Ribu lapan ratus ringgit).
Selain dari itu, peserta taklimat juga diberikan penerangan mengenai dengan beberapa elemen yang terdapat dalam skim SCP seperti manfaat Perlindungan ”Suvivorship” . Manfaat ini adalah bagi membantu menjamin kesejahteraan tanggungan ahli yang meninggal sebelum mencapai umur persaraan mandatori 60 tahun. Melalui Manfaat Perlindungan 'Survivorship', tanggungan ahli akan menerima $400.00 selama 15 tahun dari tarikh ahli berkenaan meninggal di samping baki simpanan SCP ahli.
Taklimat diteruskan dengan taklimat mengenai Perancangan Kewangan yang disampaikan oleh Dayang Nurul Jafriah Bte Abdullah, Pegawai dari Bank Islam Brunei Darussalam. Di taklimat tersebut, belaiu mengingatikan mengenai kepentingan membuat perancangan kewangan dari awal lagi. Dayang Nurul Jafriah juga memberi tips mengenai cara-cara untuk peserta mencapai matlamat kewangan mereka.
Disebelah petang pula, pegawai dan kakitangan syarikat yang terlibat dalam memproses pembayaran caruman TAP dan SCP, mendengarkan taklimat mengenai Tatacara Pembayaran Caruman TAP yang disampaikan oleh Yang Mulia Awg Akramin bin Hj Ash'ari, Pengurus bagi Cawangan Yayasan dan Temburong. Sementrara Tatacara bagi Pengisian Borang Pembayaran Caruman pula disampaikan oleh Yang Mulia Awg Salleh bin Hj Puasa, Penolong Pengurus dari Jabatan Pusat Rangkaian Perkhidmatan TAP. Taklimat mengenai Akta TAP dan Aturan-aturannya pula telah disampaikan oleh Penasihat Undang-Undang dari Pejabat Peguam Negara,
Adalah diharapkan, taklimat tersebut dapat memberi kefahaman kepada peserta-peserta taklimat mengenai proses pembayaran dan pengisian borang TAP dan SCP dan kepentingan mengenai membayar caruman tepat pada waktunya







