Jerayawara Bulan Perancangan Kewangan

Selasa, 9 Mac 2010 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat hari ini meneruskan lagi aktiviti bulan perancangan kewangannya dengan memberikan taklimat mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP) dan Perancangan Kewangan kepada seramai 45 orang pegawai dan kakitangan dari Syarikat ESP (B) Sdn Bhd, Kuala Belait bertempat di pejabat syarikat tersebut di Jalan Jaya Negara.

Acara dimulakan dengan taklimat mengenai skim TAP dan SCP yang disampaikan oleh Yang Mulia Awg Rosli bin Hj Haron, Pemangku Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, TAP.

Menurut beliau, dengan adanya skim SCP, skim TAP masih ada dan tidak ada perubahan kepada skim-skim pengeluarannya seperti pengeluaran pra-persaraan 50 tahun, persaraan 55 tahun, berhijrah ke negara lain, hilang upaya, hak waris dan juga pengeluaran perumahan.

Beliau juga turut menerangkan mengenai skim SCP yang mana objektif utama skim berkenaan adalah untuk memastikan semua peserta skim SCP, yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum sebanyak $150.00 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap 60 tahun. Melalui skim ini, yang menjamin bayaran bulanan $150.00, dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak $250.00 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak $400.00.

Melalui skim SCP, pekerja dan majikan adalah dikehendaki untuk membuat caruman bulanan sebanyak 3.5% dari gaji pokok pekerja dan 3.5% dari pihak majikan. Selain dari itu, beliau juga menerangkan mengenai caruman minimum dari pihak majikan ialah $17.50 berdasarkan gaji $500.00 dan caruman maksimum ialah $98.00 berdasarkan gaji $2,800.00.

Taklimat mengenai Perancangan Kewangan pula disampaikan oleh Perunding Kewangan Bertauliah (ChFC), Yang Mulia Dyg Suriayati bte Bujang yang dijemput dari Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited (HSBC), KB di mana beliau telah memberikan dan menambahkan kesedaran mengenai kepentingan membuat perancangan kewangan terutama didalam memikul tanggungjawab sendiri tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak. Beliau juga turut mengongsikan beberapa panduan didalam pengawalan hutang dan langkah-langkah yang diambil didalam memulakan perancangan kewangan.

Jerayawara Bulan Perancangan Kewangan ini akan terus dijalankan oleh TAP yang mana jerayawara seterusnya akan diadakan pada hari Khamis, 11 Mac 2010 di Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien kepada pegawai dan kakitangan serta guru-guru dari maktab-maktab dan sekolah-sekolah dari
Cluster 1.

IMG_9421
IMG_9414
IMG_9426
IMG_9430
IMG_9435
IMG_9438