Financial ExploRace 2010
Sasaran bagi kali ini adalah penuntut-penuntut yang terdiri daripada maktab-maktab dan sekolah-sekolah menengah dari Daerah Brunei Muara dan Temburong. Acara ini berlangsung di Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien di Jalan Lintang / Sekolah.
Financial Explorace ini adalah berbentuk permainan yang berkonsepkan pendidikan kewangan. Permainan ini juga adalah salah satu kaedah pendekatan TAP untuk mempromosikan, mendidik dan mendedahkan orang ramai terutama penuntut sekolah mengenai isu-isu kewangan. Adapun objektif Financial Explorace ini adalah untuk :
*Memberi kesedaran kepada penuntut sekolah mengenai kepentingan perancangan kewangan melaui keseronokan permainan;
*Memperkenalkan konsep menabung, berbelanja dengan bijak, bersedekah dan pelaburan asas;
*Memberi peluang kepada guru-guru untuk bertukar-tukar idea didalam memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan kewangan
*Mempromosikan kebebasan berhutang di kalangan muda-mudi
Ucapan alu-aluan telah diberikan oleh Yang Mulia Awang Rosli bin Haji Haron, Pemangku Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat TAP, selaku Pengerusi Jawatankuasa Financial ExploRace 2010 dan hadir selaku Tetamu Kehormat dan melancarkan acara berkenaan ialah Yang Mulia Dayang Joyce Chua Sing Yee, Pemangku Pengurus Eksekutif 2 / Pengurus Kewangan TAP.
Sebanyak 19 maktab dan sekolah menyertai acara ini di mana setiap maktab / sekolah menghantar empat (4) orang wakil dari tahun 7 – 11. Melalui permainan ini, setiap kumpulan diberikan tugas untuk mencari pekerjaan dan mendapatkan gaji bagi membolehkan mereka membeli barang keperluan. Dengan bayangan sebagai penuntut Universiti yang ingin menyara kehidupan tanpa bergantung kepada orang lain, peserta-peserta diberikan peluang untuk mengatur perbelanjaan mereka dengan bijak. Turut dimasukkan didalam permainan ini ialah penggunaan kad kredit, pelaburan skim cepat kaya dan peminta sedekah, yang boleh mempengaruhi kewangan peserta.
Permainan yang berlangsung selama 2 jam ini memberikan cabaran fizikal dan mental kepada peserta dengan berbagai ujian termasuk bekerja dalam berpasukan, menjadi pemimpin dan membuat keputusan.
Sekolah Menengah Lambak Kiri menjadi juara Financial Explorace 2010 di mana jumlah ’simpanan’ dan markah bonus mereka adalah yang tertinggi berbanding yang lain setelah mengharungi tugasan yang diberikan. Antara hadiah utama yang diberikan kepada pemenang adalah Akaun Simpanan sebanyak $400.00 setiap seorang dari Bank Baiduri, medal, tabung TAP, kristal TAP, sijil penyertaan dan lain-lain. Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing menerima Akaun Simpanan Bank Baiduri sebanyak $150.00 dan $100.00 setiap seorang beserta dengan hadiah utama yang lain.
Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Zahari bin Pengiran Haji Ahmad, Pengetua Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien.
Acara ini juga adalah merupakan susulan daripada aktiviti perancangan kewangan yang masih giat diadakan sejak tahun 2005 lagi, melalui Jerayawara Perancangan Kewangan kepada sektor kerajaan, sektor swasta dan penuntut institusi pengajian tinggi dengan kerjasama daripada Perancang Kewangan yang diiktiraf dari bank-bank di negara ini. Manakala pada tahun 2008, pendekatan perancangan kewangan melalui Teater Muzikal Perancangan Kewangan telah dilancarkan kepada murid-murid sekolah rendah.



































