Ahli TAP Dinasihatkan Merancang Kewangan Dengan Baik
Selasa, 29 November 2011 – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Jabatan Komunikasi Korporat, hari ini meneruskan jerayawara mengenai Perancangan Kewangan khusus kepada ahli-ahli TAP yang akan mencapai umur 50 tahun dan 55 tahun pada tahun ini, yang diadakan di sebelah pagi yang mengambil tempat di Dewan Qiyadah, Aras Bawah, Pejabat Daerah Belait, Kuala Belait. Manakala pada petang hari yang sama pula diadakan taklimat kepada pekerja-pekerja yang baru berdaftar ke TAP dari bulan Ogos hingga Oktober 2011 yang mengambil tempat di Dewan Kemasyarakatan Kg. Pandan, Jalan Pandan 5, Kuala Belait. Peserta taklimat terdiri daripada mereka yang bermastautin di Daerah Belait dan dihadiri oleh seramai 120 orang.
Pada taklimat disebelah pagi pihak TAP juga menjemput wakil dari Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Awg. Hj. Shamsul b. Hj. Muhamad, Pengurus Jualan yang juga Perancang Kewangan yang bertauliah (Chartered Financial Consultant-ChFC) manakala pada sebelah petang pula Dyg. Suriayati bt. Bujang, Personal Banker The Hong Kong and Shanghai Banking Corporation Limited, yang juga Perancang Kewangan yang bertauliah (Chartered Financial Consultant-ChFC) turut sama menyampaikan taklimat mengenai Perancangan Kewangan.
Mereka menekankan kepentingan membuat perancangan kewangan dalam mencapai objektif jangka masa pendek dan jangka masa panjang agar individu dapat mencapai kebebasan kewangan ataupun financial independence dengan tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak untuk keperluan kewangan.
Jerayawara taklimat skim TAP dan SCP serta Perancangan Kewangan ini akan giat diteruskan dari masa ke semasa untuk memberikan kefahaman yang mendalam kepada orang ramai mengenai skim-skim tersebut dan juga Perancangan Kewangan. Sebarang keterangan lanjut mengenai taklimat ini bolehlah menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat, TAP di talian 2382929 sambungan 720/750.